Anda di sini

Tekong bot nelayan Indonesia didenda RM1 juta

Advertisement
Tekong berserta tiga awak-awak semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini selesai dijatuhkan hukum. 
Tekong berserta tiga awak-awak semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching, hari ini selesai dijatuhkan hukum. 

KUCHING: Seorang tekong bot nelayan Indonesia didenda RM1 juta manakala tiga awak-awak didenda RM100,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini akibat memasuki perairan negara tanpa memaklumkan pihak berkuasa.

Hakim Afidah Abdul Rahman memerintahkan tekong tersebut, Hamsu Rajukin, 30, serta awak-awak Firdaus, 39, Hendrik, 31, dan Redo, 43, untuk dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. 

Kesemua tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dibaca bersama Subseksyen 24 akta sama dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta membabitkan tuan punya bot dan RM100,000 membabitkan kru jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kesemua nelayan Indonesia tersebut secara bersama didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia tentang nama, negara bendera, lokasi jalan dan destinasi bot tersebut, jenis dan jumlah ikan yang dibawa dan hal keadaan bot tersebut memasuki perairan perikanan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di atas sebuah bot ikan di kedudukan 52.6 batu nautika dari Tanjung Sirik, Sarawak pada 8 Mac 2024 sekitar jam 4.20 pagi. 

Fakta kes mendedahkan pihak berkuasa maritim yang melakukan operasi khas terlihat bot tersebut dan menghampirinya setelah mendapati ia berada dalam keadaan mencurigakan.

Pasukan penguat kuasa yang membuat pemeriksaan kemudian mendapati ia merupakan kapal nelayan asing, tanpa nombor pendaftaran atau nama.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat empat individu dalam bot tersebut. 

Kesemuanya juga gagal memaklumkan pihak berkuasa Malaysia bahawa ia memasuki perairan negara dan ini bertentangan dengan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu, beberapa peralatan turut dirampas daripada bot tersebut antaranya adalah seunit kompas, seunit sistem kedudukan geografi (GPS), sekitar 150 kilogram ikan, seunit radio dan beberapa peralatan memancing. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Azham Marwan sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement