Anda di sini

Sarawak diharap jadi  'Run Away Champion' SUKMA XXI: Abdul Karim

Advertisement
Abang Johari (tiga kanan) dan Abdul Karim (tiga kiri) bersama tetamu yang lain bersorak semasa program 'Our Star Our Pride' 100 Hari Menjelang SUKMA XXI di Hotel Pullman, Kuching hari ini. - Gambar UKAS
Abang Johari (tiga kanan) dan Abdul Karim (tiga kiri) bersama tetamu yang lain bersorak semasa program 'Our Star Our Pride' 100 Hari Menjelang SUKMA XXI di Hotel Pullman, Kuching hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menaruh harapan tinggi agar kontinjen Sarawak bukan sahaja bergelar juara, malah menjadi 'Run Away Champion' pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Katanya, ia merupakan misi jelas yang dibawa oleh Sarawak ketika kejohanan itu berlangsung kelak.

"Oleh itu, semua pihak perlu bersedia dan mempunyai iltizam tinggi untuk sama-sama meraih kejayaan yang diidamkan pada kejohanan berkenaan.

"Tanam dalam hati semangat untuk menang dan kita mahu melihat semangat tidak mudah menyerah walaupun berada pada masa saat akhir dalam acara.

"Kita mempunyai 100 hari untuk mencapainya dan buat yang terbaik untuk Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program 'Our Star Our Pride' 100 Hari Menjelang SUKMA XXI di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Premier Srawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, terdapat 488 acara melibatkan 37 sukan akan dipertandingkan dalam SUKMA XXI kelak.

"Ia melibatkan 235 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka.

"Penganjuran sukan ini juga akan menghimpunkan 12,619 orang yang terdiri daripada 9,927 atlet dan 2,692 pegawai," jelasnya.

Abdul Karim menambah, pihaknya juga telah mengenal pasti lima perkampungan sukan utama untuk menempatkan atlet pada SUKMA XXI.

"Ia adalah Universiti Malaysia Sarawak, Kota Samarahan; Desa Sanyan, Sibu; Universiti Teknologi MARA, Kampus Mukah; Universiti Putra Malaysia, Bintulu dan Institut Kemahiran Belia Negara, Miri," jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement