Anda di sini

Kilat Boy tumbangkan pencabar dari Thailand dengan TKO, rangkul gelaran WBC

Advertisement
Aksi perlawanan Kilat Boy semasa menentang Yuttihchai semasa WBC Asia Silver Superbantam Weight, pada Sabtu. - Gambar Chimon Upon
Aksi perlawanan Kilat Boy semasa menentang Yuttihchai semasa WBC Asia Silver Superbantam Weight, malam tadi. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Tempoh latihan singkat selain mengorbankan hari raya membawa hasil kepada petinju profesional Sarawak, Daeloniel McDelon Bong apabila bergelar juara sekali gus menyarung tali pinggang Cabaran Tinju Dunia (WBC) Asia Silver Superbantam Weight, semalam.

Daeloniel yang juga mesra dengan panggilan 'Kilat Boy' menumbangkan pencabar dari Thailand, Yuttihchai Wannawong dengan kiraan technical knockout (TKO) pada pusingan kelima.

Aksi agresif kedua-dua petinju dapat dilihat bermulanya perlawanan namun, kepantasan dan kelincahan Daeloniel berjaya membuat lawannya tersungkur. 

Namun, di pihak Yuttichai pula ia tidak mematahkan semangat dan terus membuat asakan dan mengintai peluang untuk menyerang. 

Bagaimanapun, Yuttihchai akur dengan kekalahan selepas tidak dapat meneruskan perlawanan pada pusingan kelima dan kemenangan mutlak milik Kilat Boy.

"Alhamdulilah atas kejayaan baru saya ciptakan untuk Sarawak dan kemenangan ini adalah yang diidam-idamkan. 

"Kemenangan ini saya dedikasikan untuk Malaysia dan Sarawak khasnya selain ia saya hadiahkan kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), jurulatih, ahli keluarga serta para penyokong yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada saya selama ini," katanya.

Daeloniel berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan berakhir di Stadium Perpaduan, di sini malam tadi.

Daeloniel merakam kenangan kemenangan bersama Abdul Karim dan tetamu yang lain. - Gambar Chimon Upon
Daeloniel merakam kenangan kemenangan bersama Abdul Karim dan tetamu yang lain di Stadium Perpaduan Kuching, malam tadi. - Gambar Chimon Upon

Hadir memberi sokongan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalannya Dato Gerald Rentap Jabu serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo. 

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta tetamu kenamaan yang lain. 

Mengenai kejohanan, terdapat tujuh perlawanan lain turut berlangsung malam tadi.

Antaranya ialah petinju Singapura, Velco Tan berjaya menewaskan Arthur Sitta Rodriquez dari Brazil manakala Vicky Khan dari India menang ke atas Taimoor Khan dari Pakistan dalam kategori Heavyweight.

Sementara itu, aksi Light Heavyweight iaitu peserta Amerika Syarikat, Daishun Middleton menumpaskan Worawut Singhabutr dari Thailand sementara Kim Sangyeon dari Korea terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya menyingkirkan Yosep Boido dari Indonesia.

Petinju berpengalaman dari Jepun, Toshihiko Era turut mencuri tumpuan apabila berjaya menumpaskan lawan dari India, Pawan Kumar Arya juga dalam pertarungan Kejuaraan WBC Asia.
 
Seorang lagi wakil dari Malaysia, Khairul Azim menang ke atas Ohan Sigalinglin dari Indonesia dalam kategori Featherweight.

Manakala perlawanan kategori Superbantam di antara Herlan Gomez dari Filipina dan Sukpasried Ponphitak dari Thailand berkesudahan dengan kemenangan ke atas Herlan.

  • oleh
  • Advertisement