Anda di sini

WBC: Kejayaan Kilat Boy diharap dapat jadi inspirasi anak muda ceburi sukan tinju

Advertisement
Abdul Karim semasa ditemui media selepas perlawanan berkenaan. - Gambar Chimon Upon
Abdul Karim semasa ditemui media selepas perlawanan berkenaan. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kemenangan petinju profesional Sarawak, Daeloniel McDelon Bong pada Cabaran Tinju Dunia (WBC) Asia Silver Superbantam Weight diharap dapat menjadi inspirasi anak muda menceburi sukan tinju, di negeri ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan yang pertama kali dianjurkan di Malaysia dan khasnya Sarawak itu memberi kegembiraan apabila tali pinggang utama kejohanan itu dimiliki oleh Daeloniel.

"Harapan saya, ekoran kemenangan seperti ini akan meningkatkan lagi minat terhadap sukan tinju kepada rakyat Sarawak.

"Kita tahu ramai yang minat akan sukan ini, namun mereka perlu mempunyai ikon mahupun juara seperti ini (Daeloniel) untuk mengangkat lagi mereka yang berminat sukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas menyaksikan perlawanan WBC Asia Silver Superbantam Weight, di Stadium Perpaduan, di sini malam tadi.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan memberitahu, Kerajaan Sarawak turut berusaha untuk membantu membangunkan sukan tinju dan sukan lain.

"Untuk tahun yang akan datang sekiranya kita (Sarawak) ada peluang untuk menganjurkan sukan tinju peringkat asia dan dunia, kerajaan akan bantu.

"Penganjuran sukan ini dapat menyemarakkan minat sukan tinju, selain ia turut membantu industri pelancongan di Sarawak," jelasnya sambil menambah, mengenai insentif ia akan dibincang terlebih dahulu untuk dipertimbangkan.

Terdahulu, Abdul Karim berpeluang menyaksikan perlawanan merebut tali pinggang utama kejohanan berkenaan antara Daeloniel yang juga mesra dikenali Kilat Boy dan Yuttihchai Wannawong dari Thailand.

Daeloniel bagaimanapun berjaya menumbangkan pencabar Yuttihchai dengan kiraan technical knockout (TKO) pada pusingan kelima.

Hadir sama Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir Aidel Lariwoo serta Presiden Tinju Negeri Sarawak Dato Rahman Lariwoo.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Setiausaha Tetap MYSED Morshidi Fredrick, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta tetamu kenamaan yang lain.

  • oleh
  • Advertisement