Anda di sini

Cat City Bike Week 2024 gegar Kuching, 24 hingga 26 Mei ini

Advertisement
TJ Rolan (kiri) dan Abang Nor Nasaruddin (dua kiri) bersalaman dengan Pengarah Aeroville Mall Sdn Bhd Kapitan Tan Gun Kee selepas sidang media CCBW2024.
TJ Rolan (kiri) dan Abang Nor Nasaruddin (dua kiri) bersalaman dengan Pengarah Aeroville Mall Sdn Bhd Kapitan Tan Gun Kee selepas sidang media CCBW2024.

KUCHING: Ribuan penunggang motosikal dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand akan berhimpun di Stutong Baru untuk acara Cat City Bike Week 2024 (CCBW 2024).

Pengerusi penganjur CCBW 2024 Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki berkata, acara yang akan diadakan di Aeroville Mall pada 24 hingga 26 Mei itu bertujuan mengumpulkan pemilik motosikal tanpa mengira model bagi mengeratkan hubungan antara penunggang motosikal yang hadir.
"Saya jangkakan lebih 30,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari berlangsungnya CCBW 2024.

"Acara ini juga menampilkan suasana yang menarik dengan tidak hanya menumpukan pada kehadiran kelab permotoran tetapi juga menarik minat pengunjung yang berminat dalam bidang permotoran," katanya pada sidang media CCBW yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Chapter Harley Owners Group Kuala Lumpur Chapter Malaysia TJ Rolan menyatakan bahawa acara seperti itu dapat membantu meningkatkan sosioekonomi tempatan dengan penglibatan peserta yang ramai.

Rolan juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Aeroville Mall atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini.

Pelbagai acara menarik akan diadakan sepanjang tiga hari tersebut, termasuk upacara pelancaran CCBW 2024, cabutan bertuah, pertandingan karaoke, pertunjukan motosikal dan konsert daripada penyanyi legenda dan vokalis kumpulan rock Rusty Blade, Yantzen.

Selain itu, acara Tayar Golek Ke Gua Angin di Bau akan melibatkan 100 peserta CCBW 2024. 

Terdapat juga Ratu Cilik CCBW 2024, upacara penyampaian momento dan acara bergambar di Wall Of Fame CCBW 2024 yang akan dipenuhi dengan logo kelab bikers yang berdaftar.

Acara CCBW 2024 turut dimeriahkan dengan 30 gerai jualan dan pameran yang menawarkan pakaian bike week, barangan permotoran, serta makanan dan minuman.
 

  • oleh
  • Advertisement