Anda di sini

RM200 juta naik taraf, bina semula kemudahan sempena SUKMA XXI Sarawak 2024: Abdul Karim 

Advertisement
Abdul Karim pada sidang media selepas ucapan penggulungan kementeriannya. - Gambar Chimon Upon
Abdul Karim pada sidang media selepas ucapan penggulungan kementeriannya. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sekurang-kurangnya RM200 juta kos bagi menaik taraf dan membina semula beberapa kemudahan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, 24 kemudahan telah dikenal pasti akan dinaik taraf dan tiga kemudahan baharu dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang Julai tahun ini.

“Tiga kemudahan baharu adalah Padang Kriket dan Ragbi Sarawak di Petra Jaya, Pusat Latihan dan Pertandingan Wushu di Petra Jaya dan Kampung Sukan Sarawak di Petra Jaya.

“Selebihnya adalah dinaik taraf, namun semua naik taraf ini ada antaranya memakan kos yang tinggi terutama Stadium Negeri di mana semuka treknya ditukar baharu, lampu LED, tandas semuanya perlu dinaik taraf semula.

“Dana untuk ini memang daripada kerajaan negeri namun kita turut memohon bantuan sebahagian daripadanya daripada kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, kerajaan negeri memohon sekurang-kurangnya RM100 juta bagi penganjuran SUKMA berkenaan.

Menurut beliau pada penganjuran terakhir SUKMA Sarawak pada 2016, ia menelan kos RM40 juta.

Namun katanya, ia hanya melibatkan dua bahagian tempat sukan pada ketika itu iaitu Sibu dan Kuching.

Berbeza pada kali ini yang melibatkan pelbagai bahagian untuk penganjuran sukan, ujarnya.

Beliau tidak menafikan penganjuran sukan memang memerlukan kos tinggi.

“Begitu juga cadangan kita untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA, yang mungkin menelan kos lebih RM700 juta.

“Untuk Sukan SEA ini, kita sekarang sedang mengadakan perbincangan bersama kementerian di pusat menerusi Zoom,” katanya.

Abdul Karim berkata, pengumuman perkara berkenaan akan dilakukan sebaik sahaja tiba masanya.
 

Advertisement