Anda di sini

Sarawak peroleh geran kajian daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan

Advertisement
Abang Johari ketika melawat salah satu reruai pameran pada majlis perasmian APGH 2024 hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari ketika melawat salah satu reruai pameran pada majlis perasmian APGH 2024 hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar telah memperoleh geran kajian daripada Kementerian Ekonomi dan Kewangan Korea Selatan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, geran itu akan membolehkan Sarawak memulakan kajian perintis untuk membangunkan Pelan Hala Tuju Sarawak.

Pelan Hala Tuju itu katanya, merupakan pelan komprehensif untuk memanfaatkan potensi besar tenaga hidrogen di negeri ini.

“Sebab itu, kami berhasrat untuk memajukan kepimpinan Sarawak dalam ekonomi hidrogen menerusi kerjasama dengan Korea Selatan dalam ekonomi hidrogen melalui penerokaan strategi inovatif pengeluaran dan penggunaan hidrogen.

“Peta Hala Tuju Hidrogen Sarawak ini akan menjadi garis panduan terhadap usaha kami merangkumi kemajuan teknologi, pembangunan infrastruktur dan rangka kerja pengawalseliaan bagi menyokong industri hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari yakin melalui kerjasama itu, ia dijangka dapat memberi manfaat yang besar termasuk pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan serta pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan matlamat kelestarian global.

Sehubungan itu katanya, Sarawak komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan domestik dan antarabangsa bagi memacu inisiatif peralihan tenaga dan mencapai matlamat iklimnya.

"Ini terbukti dengan jelas melalui kerjasama misalnya seperti Sarawak Energy dengan Linde, SEDC Energy dengan Sumitomo Corporation, Eneos Corporation, Samsung Engineering, Korean National Oil Company, Lotte dan Gentari.

“Kerjasama-kerjasama ini menunjukkan penerimaan proaktif Sarawak terhadap hidrogen, satu asas ekonomi baharu negeri dan komponen penting masa depan tenaga lestarinya.

“Tambahan lagi, kerjasama ini memudahkan pemindahan teknologi dan pertukaran pengetahuan, membolehkan Sarawak mendapat manfaat daripada pemain-pemain yang sudah kukuh dalam bidang ini dan memajukan kapasiti serta inovasi tempatan dalam membangunkan ekonomi hidrogen,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari pada sidang media menjelaskan bahawa geran kajian dari Korea Selatan adalah sebahagian daripada inisiatif penyahkarbonan kerajaan mereka.

“Geran ini diberikan dalam jumlah yang agak besar dan ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Korea dalam bidang ini.

“Maka itu, kami dapat bekerjasama dengan pihak Korea dan sebab itulah kami mahu menghasilkan hidrogen di sini supaya hidrogen boleh dibawa ke Korea,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain dan Pengerusi Borneo Business Connect Sdn Bhd Tan Sri Asmat Kamaludin yang juga penganjur Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik.

  • oleh
  • Advertisement