Anda di sini

UPMKB memulakan inisiatif projek CropBio

Advertisement
Keran dan Shahrul (tengah) merakam gambar bersama hadirin yang hadir pada mesyuarat permulaan bagi pelaksanaan projek CropBio di Bintulu.
Keran dan Shahrul (tengah) merakam gambar bersama hadirin yang hadir pada mesyuarat permulaan bagi pelaksanaan projek CropBio di Bintulu.

BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) terus mengorak langkah dalam mengembangkan sektor pertanian dengan memulakan inisiatif menganjurkan mesyuarat permulaan bagi projek Memperkasakan Kepelbagaian Tanaman Melalui Aplikasi Luar Angkasa Inovatif (CropBio) di Bintulu, baru-baru ini.

Melalui pelaksanaan projek CropBio dan demonstrasi lapangan ini nanti akan membolehkan penanaman pelbagai jenis tanaman yang sesuai dan tahan dengan bencana yang berlaku pada setiap musim.

Projek ini secara amnya dimulakan oleh Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) dan Institut Penyelidikan Maklumat Angkasa (AIRCAS) Akademi Sains China di beberapa negara Asia Tenggara terpilih.

Antara lainnya projek ini dilihat sebagai medium bagi meningkatkan ketersediaan dan aksesibiliti data mengenai kepelbagaian tanaman di lokasi pengujian iaitu di Malaysia, Indonesia dan Filipina dengan membina pangkalan data tanaman geospatial dan menjalankan penilaian kepelbagaian tanaman untuk menyokong ketahanan pertanian dan objektif kepelbagaian biologi.

Berucap pada mesyuarat berkenaan, Ketua Aplikasi Angkasa Keran Wang menzahirkan rasa bangga dengan inisiatif yang dimulakan UPMKB bagi memulakan usaha pertanian yang moden sesuai dengan cuaca di negara ini.

"Kita berkumpul dalam mesyuarat ini kerana percaya bahawa sains dan teknologi angkasa dan aplikasinya dapat menyokong pembangunan mampan khususnya dalam sektor pertanian," ujarnya.

Perbincangan ini menurut beliau antara lain akan memberikan tumpuan kepada inisiatif konkrit yang mana projek ini nanti akan di laksanakan secara berkolaboratif sehingga 2027 di Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kampus UPMKB Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini juga menekankan rasa syukur beliau terhadap kerjasama antarabangsa yang dijalinkan bagi menjayakannya.

"Permulaan projek ini adalah kesinambungan kepada perbincangan yang diadakan di Forum Serantau mengenai Aplikasi Maklumat Geospatial untuk Pertanian yang Tahan Bencana di Asia Tenggara yang telah diadakan di Kunming, China dari 30 November hingga 1 Disember 2023," jelasnya.

Advertisement