Anda di sini

Huang seru LSS baiki segera Terminal Satu Sarikei 

Advertisement
Rombongan yang mewakili Huang melakukan tinjuan kerja ke Terminal Satu Sarikei pada Rabu.
Rombongan yang mewakili Huang melakukan tinjuan kerja ke Terminal Satu Sarikei pada Rabu.

SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dato Sri Huang Tiong Sii menyeru Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) untuk membaiki segera Terminal Satu Sarikei.

Katanya, masih ramai penduduk setempat yang bergantung kepada kemudahan itu untuk urusan harian mereka.

“Terminal ini amat berguna kepada para para peniaga dan golongan petani yang tinggal di kawasan tepi Batang Rajang, terutama untuk memunggah hasil pertanian dan hasil nelayan sungai.

“Kita berharap pihak LSS dapat mengambil langkah drastik untuk mempercepatkan proses membaik pulih terminal ini agar ia dapat beroperasi seperti biasa.

“Kita telah menerima aduan daripada orang ramai yang memohon agar kerja-kerja pembaikan kemudahan di terminal disegerakan.

“Mereka mengadu mengalami kesukaran sepanjang kemudahan itu ditutup,” kata Huang, pada Rabu.

Terdahulu, Huang yang diwakili Kapitan Ling Dien Yong serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) setempat melakukan tinjauan ke terminal terbabit.

Dalam lawatan tersebut, rombongan berkenaan telah disambut dan diberikan taklimat ringkas oleh Penolong Pengurus Pelabuhan LSS Bahagian Sarikei Mohamad Fadzli Noh berkaitan status pembaikan terminal tersebut.

Menurut Huang, Terminal Satu Sarikei telah ditutup pada 19 September 2023 untuk kerja-kerja pengerukan sungai.

Kerja-kerja pengerukan yang memakan masa selama 10 bulan itu dijangka tamat pada 18 Julai ini. 

“Sambungan dan laluan pontun yang rosak harus dibaiki terlebih dahulu dan kerosakan struktur ini akan mengancam keselamatan pengguna terutamanya semasa proses pemunggahan barangan. 

“Terminal Satu Sarikei merupakan dermaga yang sangat penting di kawasan bandar Sarikei kerana masih terdapat banyak pengangkutan air seperti bot ekspres dan bot laju yang menggunakan terminal tersebut. 

“Oleh itu, kita menyeru pihak berkenaan agar memberi tumpuan ke atas kerja-kerja pembaikan dermaga dan tidak menangguhkan projek kerana ia boleh membahayakan pengguna,” tegas Huang lagi.

  • oleh
  • Advertisement