Anda di sini

Pegawai polis dipenjara 12 bulan, denda RM18,000

Advertisement
 Tertuduh keluar dari bilik mahkamah selepas perbicaraan dijalankan.
BERSALAH: Tertuduh keluar dari bilik mahkamah selepas perbicaraan dijalankan.

TAWAU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dipenjara 12 bulan dan denda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM3,500, tujuh tahun lalu.

Hakim, Jason Juga menjatuhkan hukuman itu terhadap Roney Saimeh Sakah, 44, dan memerintahkannya dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Roney didakwa menerima suapan sebanyak RM3,500 di Pejabat Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sebagai dorongan menyelesaikan kes kemalangan yang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tertuduh kali pertama dihadapkan ke Mahkamah pada 20 Februari 2020 dengan perbicaraan penuh bermula 8 Mac tahun lalu dan mahkamah mendengar keterangan 20 saksi pendakwaan serta tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh sendiri.

Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi dalam hujahan berkata, kesalahan rasuah adalah kesalahan serius apatah lagi membabitkan pegawai polis kerana mencemar nama baik penjawat awam lain dan tertuduh sendiri.

Peguam Zahir Shah memohon diringankan hukuman mengambil kira faktor anak guamnya kini berdepan masalah kewangan serta mempunyai tanggungan seorang isteri dan seorang anak.

Beliau juga turut memohon penangguhan hukuman sementara pihaknya mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan hukuman pemenjaraan terhadap tertuduh namun memerintahkan denda RM18,000 dijelaskan kepada mahkamah hari ini juga, selain rayuan hendaklah difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh sabitan.

  • oleh
  • Advertisement