Anda di sini

Sultan Hassanal Bolkiah berkenan terima menghadap Tun Wan Junaidi

Advertisement
Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Tun Wan Junaidi di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei. - Gambar UKAS
Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Tun Wan Junaidi di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei. - Gambar UKAS

KUCHING: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Brunei di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan hari ini.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), turut berkenan berangkat pada majlis itu Raja Isteri Pengiran Anak Saleha selain kerabat-kerabat diraja yang lain.

Sebelum majlis menghadap itu, Tun Wan Junaidi yang diiringi isterinya, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba di Istana Nurul Iman pada jam 11.30 pagi.

Hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Selepas majlis menghadap itu, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa Tun Wan Junaidi menghadiri majlis santap tengah hari di istana berkenan.

Usai majlis santap itu, Tun Wan Junaidi serta isteri berangkat pulang bersama rombongan dari Istana pada jam 1 petang.

Seterusnya pada jam 3 petang, Tun Wan Junaidi dijangka melawat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Jalan Pengiran Babu Raja dan bertahlil di Kubah Makam Diraja serta menghadiri jamuan malam bersama delegasi.

Manakala pada hari ketiga lawatan rasmi, Tun Wan Junaidi serta rombongan akan mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei dan menyelusuri Sungai Brunei sebelum berangkat pulang ke Sarawak pada jam 2.30 petang. 

Advertisement