Anda di sini

Swinburne Sarawak komited jadi institusi pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia

Advertisement
Jaul ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Kampus Swinburne Sarawak Yang Dinaik Taraf di Swinburne University of Technologi Kampus Sarawak di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Jaul ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Kampus Swinburne Sarawak Yang Dinaik Taraf di Swinburne University of Technologi Kampus Sarawak di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Swinburne University Of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) komited menjadi institusi pendidikan berkualiti dan bertaraf dunia yang boleh diakses oleh rakyat negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata, penaiktarafan fasiltiti di universiti itu juga untuk menyokong peningkatan jumlah pelajar yang semakin meningkat.

"Usaha menaik taraf kampus ini juga bertujuan menyediakan pelajar kami dengan persekitaran pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia serta  bukti komitmen Swinburne terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Kampus Swinburne Sarawak Yang Dinaik Taraf di Swinburne University of Technologi Kampus Sarawak di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pro Canselor universiti berkenaan.

Jaul berkata dengan kemudahan baharu yang dinaik taraf ini, pelajar Sarawak dan wilayah jiran kini boleh mengikuti pengalaman pendidikan Australia bertaraf dunia di Sarawak, dengan kos lebih murah.

"Selepas empat tahun usaha berdedikasi daripada ramai individu, pasukan dan organisasi, hari ini kita berkumpul di sini di ruang yang indah ini di tengah-tengah Swinburne Sarawak. 

"Dikenali sebagai Borneo Atrium, ini adalah salah satu daripada empat ruang utama yang merupakan sebahagian daripada projek naik taraf bernilai RM50 juta yang dilakukan oleh universiti sejak 2019," katanya.

Menurutnya tiga lagi fasiliti baharu termasuk Dewan Makanan dua tingkat yang dibina khas, Hab Pelajar dan Kampung Pelajar.

Hab Pelajar dan Kampung Pelajar mencerminkan tumpuan inisiatif peningkatan universiti itu untuk meningkatkan pengalaman kampus pelajarnya dengan mencipta ruang khusus liburan serta sukan diminati, katanya.

Beliau menambah, selain itu tempat penginapan pelajar di kampus turut dinaik taraf dengan menambah baik fasiliti-fasiliti sedia ada. 

"Sebagai pengerusi Lembaga Pengarah, saya boleh mengatakan ini adalah hasil dedikasi dan kerja keras semua pihak untuk merealisasikan visi kami menjadi universiti bertaraf dunia .

"Projek menaik taraf ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan dan semangat kerjasama yang kami semua kongsikan dalam proses tersebut," ujarnya.

Pascale berucap pada Majlis Perasmian Kampus Swinburne Sarawak Yang Dinaik Taraf di Swinburne University of Technologi Kampus Sarawak di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Pascale berucap pada Majlis Perasmian Kampus Swinburne Sarawak Yang Dinaik Taraf di Swinburne University of Technologi Kampus Sarawak di Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

Sementara itu Naib Canselor dan Presiden Swinburne University of Technology Profesor Pascale Quester yang turut berucap pada majlis itu berkata sejak ditubuhkan 24 tahun lalu, Swinburne Sarawak telah mengalami pertumbuhan serta pencapaian luar biasa.

"Kini kita merupakan prototaip universiti yang baharu dan berbeza - universiti yang benar-benar berkaitan dengan teknologi, inovasi dan keusahawanan.

"Ini didorong oleh fokus strategik yang jelas dan pemikiran progresif, seperti yang digariskan dalam pelan strategik Horizon 2025 kita," kata Pascale.

Mengulas mengenai penaiktarafan kampus itu, beliau berkata telah memodenkan ruang pengajaran dan mewujudkan persekitaran kampus yang positif serta  bertenaga, juga menyokong populasi pelajar universiti yang semakin meningkat.

"Swinburne Sarawak adalah penting kepada visi Swinburne dan kami berbangga untuk bersama-sama membiayai projek ini dengan Kerajaan Sarawak.

"Saya berbesar hati menyatakan, dengan kampus dinaik taraf ini, tidak kira di mana pelajar kampus Swinburne memilih untuk belajar, mereka kini dapat mengalami persekitaran pengajaran dan pembelajaran bertaraf dunia," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement