Anda di sini

Kerajaan mahu lebih ramai kontraktor Bumiputera berdaftar dalam kelas lebih tinggi: Uggah

Advertisement
Uggah (tiga kiri) menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang peserta Kursus Program Kontraktor Berdaya Saing Zon Tengah 2024 di Sibu, hari ini.
Uggah (tiga kiri) menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang peserta Kursus Program Kontraktor Berdaya Saing Zon Tengah 2024 di Sibu, hari ini.

SIBU: Kerajaan mahu menambah bilangan kontraktor Bumiputera berdaftar dalam kelas yang lebih tinggi, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, ini secara tidak langsung mampu meningkatkan hasil pendapatan dan kualiti hidup para kontraktor dan usahawan Bumiputera di Sarawak.

"Sekiranya sekarang Kelas E atau D dari Zon Tengah ada 104 orang, tak mustahil dua atau tiga tahun akan datang dapat naik taraf pendaftaran ke Kelas C atau B.

"Kerajaan bukan sahaja hendak melihat kontraktor Bumiputera yang hadir pada hari ini untuk berjaya, bahkan kerajaan hendak menambah bilangan kontraktor Bumiputera yang mendaftar dalam kelas yang lebih tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kursus Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) Zon Tengah 2024 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Justeru, Uggah berharap semua kontraktor untuk terus gigih dan rajin mencari serta merebut peluang yang mungkin tidak akan datang dua atau tiga kali dalam satu-satu masa, malah jangan mudah mengalah.

Menurutnya, setakat 20 Jun 2024 bilangan kontraktor Bumiputera di seluruh Sarawak dari Kelas E dan D yang beraftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ) ialah seramai 2,271 orang.

Daripada jumlah itu katanya, terdapat 599 kontraktor dari Zon Tengah yang terdiri daripada Sibu seramai 136 orang, Sarikei (118), Mukah (244) dan Kapit (101).

Bagaimanapun tegasnya, ramai kontraktor Bumiputera masih kurang ilmu pengetahuan dalam industri pembinaan, khususnya pengurusan kewangan, projek mahupun tender.

Sehubungan itu, Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua mahu para peserta program itu mendapat ilmu pengetahuan dan memperolehi input-input yang boleh memberi manfaat kepada mereka.

"Saya berharap program ini benar-benar dapat mencapai maksud dan hasrat khususnya dalam konteks menyahut hasrat kerajaan dalam mentransformasikan Sarawak ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Kita hendak melihat kontraktor Bumiputera mempunyai kepakaran serta kapasiti melaksanakan projek dengan cekap dan berkesan," tambahnya.

Seramai 104 kontraktor dari Zon Tengah terpilih mengikuti Kursus PKBS selama 10 hari dari 20 hingga 29 Jun, antara lain objektifnya ialah melahir dan membangunkan kontraktor-kontraktor Bumiputera tempatan yang tulen dan berdaya saing dalam sektor pembinaan di Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement