Anda di sini

MIS bersama agensi, NGO Sarawak anjur Program Ziarah YDP di seluruh negeri

Advertisement
Misnu (empat kiri) bersama Mual (tiga kanan) dan yang lain menunjukkan poster Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M di pejabat MIS di Kuching, hari ini.
Misnu (empat kiri) bersama Mual (tiga kanan) dan yang lain menunjukkan poster Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M di pejabat MIS di Kuching, hari ini.

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak akan menganjurkan Program Ziarah YDP di seluruh negeri bermula Maal Hijrah tahun ini (1446H), menurut Yang Dipertua MIS Datuk Misnu Taha.

Beliau berkata, program itu merupakan satu usaha mendekati masyarakat Islam di perkampungan-perkampungan saudara kita untuk berbincang mengenai perkara berkaitan hukum-hakam, fardu kifayah, kursus serta praktikalitinya.

”Sepanjang program ini, kita akan mengupas mengenai pelbagai isu termasuk harta pusaka yang barangkali ramai dalam kalangan orang Islam belum begitu arif mengenai pembahagiannya. Ini melibatkan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah. 

”Selain itu, kita akan membicarakan tentang wakaf, pendidikan serta banyak isu lain. Tidak lupa juga, kita akan membicarakan mengenai pengupayaan dan peningkatan daya upaya ummah yang sesuai dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yakni membangunkan ummah gemilang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M di pejabat MIS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pelancaran program ziarah tersebut dan segala maklumat terperinci mengenainya akan dimaklumkan kemudian hari. 

Mengulas mengenai majlis sambutan Maal Hijrah, Misnu yang juga penasihat Jawatankuasa Pengelola majlis berkata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dijangka menghadiri dua acara utama yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.

Ia melibatkan Majlis Doa Akhir Tahun 1445H dan Awal Tahun 1446H di Masjid Jamek Negeri Sarawak pada 6 Julai 2024 kira-kira jam 5.30 petang dan Majlis Perhimpunan Maal Hijrah pada keesokan harinya (7 Julai 2024) kira-kira jam 9 pagi di Dewan Hikmah Exchange di sini. 

Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang juga dijangka menghadiri acara tersebut. 

“Tema untuk sambutan pada tahun ini ialah ’Sarawak Maju Makmur’ dan ’Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’. 

”Seperti sambutan Maal Hijrah sebelum ini, penyampaian Anugerah Maal Hijrah Peringkat Sarawak juga diadakan tahun ini melibatkan 14 kategori,” katanya. 

Anugerah tersebut katanya, ialah Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, Anugerah Pegawai Awam Islam, Anugerah Pegawai Awam Bukan Islam, Anugerah Keluarga Cemerlang, Anugerah Saudara Kita (Lelaki dan Perempuan), Anugerah Sukarelawan, Anugerah Belia, Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid Terbaik, Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau Terbaik, Anugerah Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Agama Cemerlang, Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hadir sama pada sidang media ialah Pengarah Jabatan Mufti Sarawak Mual Suaud.

  • oleh
  • Advertisement