Anda di sini

Pemandu, kelindan maut, treler terbabas di Jalan Kimanis – Keningau

Advertisement
 Pasukan bomba membantu mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.
MAUT: Pasukan bomba membantu mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis.

PAPAR: Pemandu dan kelindan maut apabila treler muatan jentera berat yang mereka naiki terbabas lalu terbalik di Kilometer 30, Jalan Kimanis – Keningau, di sini, petang Isnin.

Kedua-dua mangsa lelaki masing-masing berumur dalam lingkungan 40 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Papar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.11 petang.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah treler membawa muatan jentera berat terbabas sendiri di bahu jalan lalu terbalik.

“Terdapat dua mangsa terbabit dilaporkan tersepit. Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan dijalankan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain wujud.

“Operasi ditamatkan pada jam 7.03 malam,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement